“Katakan jika laut itu menjadi tinta bagi
menulis kalimat Tuhanku, nescaya akan kering ia sebelum habis kalimat Tuhanku,
walau ditambah selautan dakwat seumpamanya.”
(Al-Kahfi: 109)
"Mereka
mempunyai hati; tetapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, dan
mereka mempunyai mata; tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda-tanda
kekuasaan Allah dan mereka mempunyai telinga; tetapi tidak digunakan
mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu bagaikan binatang ternakkan. Bahkah lebih
sesat lagi. Mereka itu orang-orang yang lalai."
( Al-A'raf:179)
"Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik
kepada ibu bapanya, ibunya mengandungkannya dengan susah payah, melahirkan
dengan susah payah pula, mengandungkannya, menyusukan sehingga 30 bulan,
sehingga apabila dia dewasa dan berumur 40 tahun, dia berkata: Wahai Tuhanku,
tunjuklah aku supaya aku mensyukuri nikmat Mu yang dengannya Engkau merahmati
aku dan ibu bapa, dan supaya aku dapat membuat amal soleh yang Engkau redai,
berilah kebaikan (perbaikilah aku) kepadaku, dengan memberikan kebaikan kepada
anak cucuku.
Sesungguhnya,
aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang yang berserah diri. Mereka
itulah orang yang kami terima daripada mereka amal yang baik, yang mereka
kerjakan, dan kami ampuni kesalahan mereka bersama penghuni syurga sebagai
janji benar yang dijanjikan kepada mereka,"
(Al-Ahqaf :15-16)
“Alif Lam Mim, apakah patut manusia itu mengira bahawa
mereka akan dibiarkan begitu sahaja (dengan) mengatakan: “Kami beriman”, dan
mereka tidak akan diuji? Dan sesungguhnya Kami telah pernah menguji orang-orang
yang terdahulu dari mereka, (dengan ujian ini) nyata apa yang diketahui Allah
orang-orang yang beriman sebenarnya dan orang-orang yang berdusta”
(Al-Ankabut:1-3)
“Meraung di Pintu Neraka”
Sebagai makhluk yang
bersifat baharu, sampai masanya kita akan kembali jua menemui Ilahi. Mungkin
esok, mungkin lusa, mungkin tahun hadapan malah mungkin sebentar lagi.
Bagaimanapun, mati bukanlah akhiran kepada hidup kerana apabila terpisah sahaja
roh dari jasad, bermula pula satu alam baru yang perlu ditempuh. Itulah alam
barzakh yang bakal kita lalui kelak.
“Dan di belakang
mereka itu barzakh sampai hari kebangkitan”
(Al-Mukminun : Ayat
100)
Barzakh meliputi
kesemua perkuburan - di dalam tanah, di dalam api, di dalam perut binatang buas
atau hancur di dalam air.
Apakah sebenarnya
yang akan kita tempuhi di alam barzakh nanti? Itulah yang perlu diketahui
kerana sesungguhnya perjalanan yang bakal dilalui selepas nyawa dicabut Izrail
amat menggetarkan. Ia menjadi teramat indah jika kita hidup beramal soleh tapi
menjadi teramat menakutkan jika menghabiskan hayat dengan maksiat serta
kemungkaran.
Sebuah hadith
menyebut : “apabila mayat dimasukkan ke dalam usungan dan dibawa ke kubur, maka
ia tidak berdiam diri sebaliknya berkata-kata. Ucapannya didengar oleh segala
makhluk kecuali manusia. Bagaimanapun, ucapan itu berbeza-beza antara yang
soleh, yang derhaka dan yang bergelumang dengan maksiat.
Kalau si mati
seorang yang soleh, dengan gembiranya ia berkata; “Segerakanlah olehmu membawa
aku ke kubur!” Tidak sabar lagi ia menunggu masa untuk menemui Ilahi dan
mendapat balasan nikmat dariNya. Sebaliknya jika mayat itu semasa hidupnya suka
membuat mungkar, dengan penuh ketakutan ia bertanya; “Ke manakah kamu semua
membawa diriku ini?” Ketika itu, perasaan gerun terhadap balasan seksa dari
Allah Azzawajalla sudah tidak dapat dibendung lagi.
Seperti yang
dinyatakan oleh Rasulullah saw, alam kubur itu merupakan tahap pertama untuk
menuju akhirat. Ia tempat yang amat indah, tapi boleh juga menjadi tempat yang
paling menggerunkan.
Apabila mayat telah
dimasukkan ke dalam kubur, maka tinggallah ia bersendirian tanpa teman, tiada
lampu, tiada makanan dan minuman. Di saat itu barulah ia mengetahui sama ada
bakal ke syurga atau neraka. Kalau ia calon syurga, maka diperlihatkan
kepadanya bayangan syurga dan demikianlah sebaliknya.
Bagi calon ahli
syurga, dibukakan pintu syurga untuknya bersama ucapan “Itulah tempat tinggalmu
dan apa sahaja yang disediakan Allah di dalamnya.” Setiap detik dipampangkan
kepadanya keindahan syurga. Sedikit pun mereka tidak bosan menatapnya walaupun
bertahun-tahun di dalam kubur menunggu tibanya kiamat.
Kuburnya juga akan
diperluas dan diterangi cahaya. Kemudian rohnya dihimpunkan bersama roh-roh
para solehin seumpama seekor burung yang berada di sebatang pohon di syurga.
Demikian dijelaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal.
Namun, orang-orang
yang kafir dan ingkar akan menerima keadaan yang berlainan.
“Orang-orang kafir itu
disempitkan kuburnya sampai remuk tulang-belulangnya. Demikian itulah kehidupan
yang sempit, penuh dengan kecelakaan dan kesengsaraan.” (Hadith riwayat
At-Tarmizi dan Ibnu Hibban)
Di samping itu, si
mati juga akan diazab dengan api yang marak menyala, ular serta binatang buas.
Seksa kubur yang
paling azab ialah yang meninggalkan solat. Dalam sebuah kitab ada menceritakan
tentang seorang soleh yang mengebumikan mayat abangnya. Ketika menimbuskan
mayat itu, entah bagaimana dompetnya terjatuh dan tertimbus. Setelah pulang ke
rumah barulah dia tersedar akan kehilangan dompetnya itu.
Lalu ia kembali ke
kubur dan menggalinya semula. Setelah digali, dia terperanjat apabila melihat
ada api menyala di dalam kubur abangnya. Lantas ditimbus semula kubur itu dan
pulang ke rumah.
Dia menceritakan
kejadian tersebut kepada ibunya, kemudian bertanya; “Wahai ibu, apakah yang
telah dibuat oleh abangku hingga kuburnya terdapat api?” Ibunya bertanya
kembali; “Mengapa kamu bertanya begitu?”
Selesai dia
menceritakan kejadian tersebut, ibunya menangis seraya berkata; “Abangmu itu
selalu meringan-ringankan sembahyang dan melambatkan waktunya.”
Kalau orang yang
melambatkan solat akan mengalami hal seperti itu, bayangkan bagaimana orang
yang tidak bersolat sama sekali! Seksa kubur bukan sahaja berlaku kerana dosa
besar, malah dosa kecil sekalipun turut dihukum.
Kubur sesungguhnya
menyimpan pelbagai rahsia. Lebih menginsafkan, kadangkala ia dipertontonkan
Allah kepada kita dengan pelbagai cara dan bermacam-macam peristiwa. Ada yang
menakutkan, tetapi ada juga yang menyeronokkan.
Sebagai orang yang
paling akrab dengan perkuburan, setiap penggali kubur menyimpan rahsia mereka
sendiri. Kebanyakan mereka telah menyaksikan bermacam-macam kejadian aneh yang
tidak terjangkau oleh akal logik. Alangkah bertuahnya mereka dapat menyaksikan
bukti-bukti kebesaran janji Allah.
Bagaimanapun, apa
yang disaksikan berlaku pada mayat dan kubur bukan semuanya seksaan Allah
kepada jenazah. Ada kalanya perkara-perkara aneh yang berlaku itu adalah untuk
pengajaran kepada manusia yang masih hidup.
Dalam kitab
Al-Safinah al-Makhirah Ila Al-Barzakh ada disebutkan bahawa apa sahaja yang
berlaku ke atas mayat dan di dalam liang lahad adalah satu misteri. Ia
bertujuan memberi iktibar kepada keluarga si mati serta manusia yang masih
hidup. Terimalah ia sebagai tarbiah dan bukan dengan kegerunan serta syak
wasangka.
Kitab rujukan : Meraung di Pintu Neraka - Haji Anwar
Muzafar.